Tuesday, July 26, 2011

pelacur, anjing & kehidupan

i was touched reading this and decided i need to share here.

by: Dr. Mohd Asri b Zainul Abidin
excerpt from: Majalah i, sept 2010

Dalam hadis nabi saw bersabda: " Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu" ( riwayat al-bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. betapa luasnya rahmat Allah kepada hambaNya. Betapa luas peluang yang diberi kepada setiap insan mendapat keampunanNya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar. Namun rahmat Allah itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah sesetengah mereka yang mengaku dirinya mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misirahmat seperti yang diajar oleh Allah kepada nabiNya saw. mereka itu selalu menggambarkan Allah penuh dengan sifat kekerasan, tanpa ihsan dan kasihan, hanya tahu menghukum dan melaknat. Dimanakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis diatas?! Dimanakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: " Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani, dan bahawa azabku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya" ( Surah al-Hijr 49-50 )

Hina dan Mulia
Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur.Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Adapun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Namun seorang wanita penzina mendapat keaampunan Allah swt disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur di mata manusia dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia? Namun air yang diberikan dari pelacur itu tadi kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keaampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberi bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

Kita mungkin tertanya-tanya alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian. Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. tidak begitu!

Perkara utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. inilah perkara yang paling sukar hendak dicapai dan dijaga. keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang pura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat 2 rakaat setiap kita mungkin tidak sama disisi Allah swt berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Maka 2 orang yang berada dalam saf solat yang sama belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagai langit dan bumi. Nilaian disisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya.

Banyak dan Sedikit
Bahkan kadang kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma Rm 1000. Sekalipun nilainya cuma RM 10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang bergaji 10 atau 15 ringgit sehari. dia pun mengeluarkan Rm 10 dengan penuh erti dan berat sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya denganpenuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza disisi Allah dibandingkan derma RM 1000 yang dikeluarkan dengan kesombongan atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu. Namun jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pasti ganjarannya lebih.

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas tetapi mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurnia Tuhan kepadanya, maka dia pun diampun dan dibuka jalan kebaikan. Allah tahu tentang dirinya. Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang adal dalam dirinya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya. Berapa ramai orang-orang bukan Muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan. Malangnya umat Islam atas kelemahan dan kagagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi menyakinkan. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai disisi Allah.

Apatah lagi dalam Surah al-Isra' ayat 15. " Kami tidak akan mengazab,  sehinggalan Kami mengutuskan rasul" Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia didunia. Selain media barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mereka mungkin lebih mendapat keaampunan Allah dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.

Insafi Diri
hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun kedudukan pelakunya disisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka akan mendapat keaampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidak sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana linkungan kehidupannya. Namun jika ada dalam jantung hati keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia kan menemui jalan keaampunan Allah Yang Maha Adil lagi Penyayang. semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri serta kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin lebih disayangi Allah dari kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keaampunan Allah!

Dr. Mohd Asri b Zainul Abidin
ialah mantan Mufti kerajaan negeri Perlis

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin